PEMPENGARUH media sosial, Haqiem Stopa didakwa di Mahkamah Majistret di Selayang hari ini atas pertuduhan menyimpan gambar dan video lucah bekas teman wanitanya, dalam dua telefon bimbit.
Tertuduh didakwa menyimpan gambar dan video lucah gadis berusia 21 tahun itu dalam galeri telefon bimbit jenama Iphone 13 Pro Max dan Iphone 7 Plus miliknya.
Bagaimanapun Haqiem Stopa atau nama sebenarnya Muhammad Sadzri Hakim Jaafar, 22, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nur Hafizah Rajuni.
Pempengaruh yang mempunyai sejuta pengikut dalam aplikasi TikTok itu didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Rawang pukul 4.30 petang pada 9 Disember lalu.
Pertuduhan terhadap Muhammad Sadzri dibuat mengikut Seksyen 292(a) dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Farhah Ahmad Hilmi mencadangkan jumlah jaminan RM4,000.
Bagaimanapun Muhammad Sadzri yang diwakili peguam Mohd Faiz Fahmy Abdul Razak daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon jumlah ikat jamin dikurangkan dengan alasan tertuduh menanggung ibu dan bapa yang uzur.
“Tertuduh bekerja sebagai pencipta kandungan (content creator) mohon jumlah jaminan yang rendah,” kata peguam itu.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak Majistret Nur Hafizah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Februari depan untuk sebutan semula kes.
Sebelum ini, media melaporkan seorang pemuda yang juga terkenal sebagai ikon permotoran ditahan kerana disyaki mengugut menyebarkan gambar lucah bekas kekasihnya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintenden Noor Ariffin Mohamad Nasir yang mengesahkan perkara itu berkata, suspek ditahan untuk siasatan selepas polis menerima laporan dibuat mangsa. – Malaysiapost

