PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin bakal memperoleh sokongan dua pertiga sebagai Perdana Menteri daripada Ahli Parlimen dalam usul undi percaya dalam Sidang Khas Dewan Rakyat pada 19 Disember ini.
Ahli Parlimen Tambun itu, menegaskan beliau sudah mendapat komitmen daripada ketua parti politik yang menyokongnya ketika ini, menjelang sidang khas berkenaan selepas beliau sendiri yang mencadangkan usul berkenaan sebelum ini.
“Ketua-ketua parti, Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), WARISAN dan beberapa parti lain sudah memberi komitmen dan insya-Allah kita dapat teruskan dengan baik.
“Minta saudari doakan yang sebaiknya,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet, hari ini.
Hadir sama dalam sidang media itu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi BN.
Anwar pada sidang pertamanya selepas mengangkat sumpah menegaskan akan membentangkan usul undi percaya bagi membuktikan keabsahannya sebagai Perdana Menteri ke-10.
Menurutnya, langkah itu penting bagi membuktikan keabsahan beliau dari segi persepsi politik, selain penafsiran dalam Perlembagaan Persekutuan. – Malaysiapost

