Anwar saman MB Kedah

0
3

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memfailkan saman terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berhubung ucapan berbaur fitnah dalam satu kempen ceramah ‘Jelajah PN Best Tambun’.

Menurut Berita Harian, Anwar, 75, yang juga plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan SN Nair & Partners di Mahkamah Tinggi Alor Setar, Kedah dengan menamakan Muhammad Sanusi, 48, sebagai defendan tunggal.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Anwar mendakwa Muhammad Sanusi telah memberi ucapan berbaur fitnah pada ceramah itu sebagai menyokong calon Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada 13 November lalu.

Ucapan dalam ceramah itu telah diterbitkan atau menyebabkan penerbitan semula dan disiarkan secara siaran langsung di aplikasi Facebook di bawah nama ‘Faizal Azumu’.

Katanya, ia mendapat tontonan melebihi 88,000 kali, 531 reaksi, 58 kali perkongsian dan 384 komen, setakat tarikh pemfailan saman itu.

Anwar mendakwa pada 14 November lalu, kenyataan fitnah daripada video itu telah dipetik oleh MalaysiaKini dan portal itu menerbitkan satu artikel dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris bertajuk “Kes liwat Anwar: Dulu kesian sungguh, sekarang PAS kata kena ‘pikiaq’.

Menurut Anwar, kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud plaintif mendapat pengampunan Diraja melalui penipuan dan kekal tidak diampunkan serta telah memperdaya Yang di-Pertuan Agong, seorang pembohong, tidak boleh dipercayai, tidak beretika dan mengkhianati mandat rakyat.

Plaintif mendakwa kenyataan-kenyataan itu adalah tidak benar, keji serta berniat jahat dengan tujuan untuk menghasut orang ramai dan menimbulkan kebencian peribadi terhadapnya dan Pakatan Harapan (PH) semasa tempoh berkempen menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November lalu.

Dakwanya, akibat daripada kenyataan fitnah itu menyebabkannya dihina, mendapat cemuhan daripada masyarakat selain memudaratkan imej dan reputasi baiknya sebagai Presiden PKR, Pengerusi PH, Ahli Parlimen Tambun, Perdana Menteri ke-10 dan Menteri Kewangan Malaysia.

Anwar mendakwa pada 16 November lalu, plaintif melalui peguamnya menuntut defendan menarik balik, memohon maaf, mengaku janji untuk tidak mengulangi dan membayar ganti rugi kepada plaintif, namun defendan melalui surat peguamnya bertarikh 7 Disember lalu, membalas surat dan menyatakan pengakuan tidak berbelah bahagi mengenai fakta dalam ucapan itu.

Sehubungan itu, plaintif memohon ganti rugi am, teruk serta teladan selain perintah untuk menghalang defendan daripada terus mengungkap, mengarang, menerbitkan atau menerbitkan kenyataan serupa terhadap plaintif serta relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Peguam Datuk SN Nair mengesahkan saman telah difailkan pada jam 4.30 petang tadi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here