ANGKATAN Pemuda Keadilan (AMK) membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri berhubung dakwaan melakukan ‘sogokan politik’ dengan menawarkan jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kepada pemimpin tertentu.
Setiausaha Pengelola AMK pusat, Chua Wei Kiat berkata, ia susulan kenyataan Tengku Razaleigh Hamzah yang mendakwa pernah ditawarkan jawatan Penasihat Petronas oleh Perdana Menteri.
Wei Kiat berkata, perkara itu bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia.
“Laporan polis dibuat untuk minta siasatan dijalankan secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, Tengku Razaleigh menyebut dengan jelas mengenai perkara itu dan tindakan perlu bagi menghentikan penyogokan politik.
“Perkara yang tidak adil kerana menggunakan sumber dan jawatan kerajaan persekutuan untuk mengukuhkan jawatannya sebagai Perdana Menteri.
“Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta hadir ke Bukit Aman untuk memberi keterangan terhadap lebih dari 100 laporan dibuat.
“Di mana laporan terhadap Anwar tiada bukti dan pihak Istana juga telah memaklumkan tiada senarai nama ahli-ahli parlimen yang menyokongnya.
“Dimanakah mereka mendapatkan senarai nama ahli parlimen yang menyokong Anwar? Seolah-olah ia merupakan laporan polis yang palsu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Muhyiddin telah hilang sokongan majoriti ahli parlimen.
“Saya menyeru beliau supaya meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan menggantikan dengan pemimpin yang mempunyai majoriti sokongan,” katanya.
Baru-baru ini, menerusi surat yang dihantar kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tengku Razaleigh mendedahkan bahawa Perdana Menteri telah menawarkan kepadanya jawatan Penasihat Petronas.
Namun beliau telah menolak tawaran itu kerana menolak ‘sogokan politik’ sambil merujuk Perkara 48(1)(c) Perlembagaan Persekutuan. -Malaysiapost

