EMPAT Ahli Parlimen Sabah yang mengumumkan keluar Bersatu, tidak mempunyai pilihan selain mengosongkan kerusi sebaik sahaja keluar daripada parti itu secara rasmi, kata bekas Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) itu berkata, keadaan itu berlaku walaupun mereka kekal menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang membentuk kerajaan persekutuan ketika ini.
Wan Junaidi yang memainkan peranan penting dalam menyelia kelulusan undang-undang anti lompat parti awal tahun ini, berkata akta berkenaan mengambil kira faktor parti dan bukannya keahlian dalam gabungan.
“Undang-undang itu bercakap tentang orang yang keluar daripada satu parti untuk menjadi bebas atau menjadi ahli parti lain.
“Jadi tidak ada bezanya sama ada dia tergolong dalam gabungan kerajaan dan kekal dalam gabungan itu,” katanya, seperti dilapor Malay Mail.
Beliau menegaskan bahawa selagi empat Ahli Parlimen Bersatu Sabah yang lain kekal dalam Bersatu, mereka tidak perlu mengosongkan kerusi walaupun tidak akur kepada pendirian parti.
Memetik laporan FMT pula, Wan Junaidi juga menolak tanggapan bahawa undang-undang itu akan melihat Bersatu Sabah sebagai entiti yang berasingan daripada Bersatu.
“Saya menggubal undang-undang untuk melarang perkara seperti itu berlaku dan mewujudkan kestabilan politik dalam negara,” katanya.
Sementara itu, Malaysiakini melaporkan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan perkara itu di luar bidang kuasanya kerana kini berada di tangan Peguam Negara dan Speaker Dewan Rakyat.
“Saya sedang menunggu untuk melihat pendapat undang-undang Pejabat Peguam Negara. Kedua, saya fikir speaker (Dewan Rakyat) mempunyai kata putus (mengenai) Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.
“(Artikel itu) menetapkan beberapa ketetapan. Ini di luar skop saya untuk mengulas. Saya berharap untuk mendengar pendapat undang-undang peguam negara,” katanya kepada pemberita di luar forum Hari Hak Asasi Manusia PBB, hari ini.
Empat Ahli Parlimen berkenaan Datuk Azmizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Datuk Matbali Musah (Sipitang).
Keempat-empat mereka memenangi kerusi mereka dengan tiket GRS, yang berdaftar secara rasmi dan berfungsi sebagai platform gabungan untuk Bersatu Sabah dan empat parti lain bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu.
Pada Sabtu lalu, Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan gabungan itu keluar dari Bersatu selepas mempertimbang keadaan dan landskap politik negara terutama di Sabah. – Malaysiapost

