BEKAS Ahli Parlimen Kuala Kangsar Datuk Mastura Mohd Yazid mendakwa beliau kini menjadi sasaran ‘cybertroopers’ upahan yang bertujuan memastikannya dipecat daripada Umno.
Mastura yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) secara sinis meminta ‘penyerang-penyerangnya’ berehat seketika daripada berterusan mengecam dirinya.
“Jom tengok the Crown Season 5 di Netflix. ‘Cytro-cytro’ upahan jom, rehat kecam saya jap. Tau lah nak pastikan saya dipecat..sabor ler.. segalanya ketentuan Allah SWT. Saya sayang Umno,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Terdahulu beliau dalam satu hantaran lain turut memuatnaik gambar tangkap layar yang tular membabitkan tiga individu dalam Umno yang dikatakan akan dipecat termasuk dirinya.
“Aduh, kalau nak viral pecat pun…letaklah gambar yang elok sikit. Ni ha.. lain kali pakai gambar ini..Ok?” sindirnya.
Individu lain yang dikatakan akan dipecat daripada Umno adalah Tan Sri Noh Omar yang meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Umno Selangor selepas Barisan Nasional (BN) kalah teruk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu.
Manakala seorang lagi adalah Datuk Khaidhirah Abu Zahar yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Melaka.

Selepas bekas Ketua Umno Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dipecat kelmarin, ketiga-tiga individu berkenaan antara pemimpin Umno yang kini dikatakan akan dipecat.
Tindakan itu dikatakan susulan penentangan mereka terhadap Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi termasuk pernah menyuarakan agar Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu meletak jawatan.
Selain itu, Annuar, Noh dan Mastura juga antara penyandang kerusi Parlimen yang tidak dipilih oleh Ahmad Zahid untuk bertanding dalam PRU-15 pada 19 November lalu. – Malaysiapost

