Ben Ibrahim
AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah kesal dengan tindakan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan keluar daripada parti itu.
Pengumuman dibuat Ketua Menteri Sabah itu bagaimanapun tidak mengakibatkan Bersatu ‘terkubur’ di negeri berkenaan.
Namun, tindakan Hajiji bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah tidak melanggar akta anti lompat parti kerana sidang dewan undangan negeri (DUN) Sabah belum meluluskan akta terbabit.
“Sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dan Ketua Badan Perhubungan Bersatu Pahang, sudah tentu saya kesal dengan tindakan teman saya di Sabah.
“Ini kerana mereka dahulunya memenangi kerusi atas nama Bersatu,” katanya dalam sidang media Kuantan, hari ini.
Saifuddin bagaimanapun memaklumkan, Bersatu masih wujud di Sabah kerana masih ada Ahli Parlimen dan pimpinan parti tersebut di negeri itu.
Beliau turut menegaskan Bersatu Pahang akan kekal dalam parti itu dan gabungan Perikatan Nasional (PN) untuk menjadi pembangkang yang berkesan.
“Kita akan terus fokus sebagai pasukan pembangkang yang konstruktif dan pada masa sama melakukan penambahbaikan.
“Seperti dalam mesyuarat Ahli Parlimen Bersatu sebelum ini, saya mencadangkan tiga perkara iaitu mengolah balik matlamat Bersatu yang ditubuhkan bagi menggantikan Umno.
“Selain itu, kita juga perlu memperkasakan sayap bersekutu parti untuk menarik lebih ramai penyertaan bukan Melayu dan bukan Bumiputera.
“Akhir sekali, kita perlu meningkatkan program pentadbiran parti supaya memiliki jentera pilihan raya yang lebih mantap,” katanya.
Terdahulu, Hajiji mengumumkan pemimpin Bersatu Sabah memutuskan sebulat suara keluar daripada parti itu, namun kekal di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan keadaan landskap politik Malaysia ketika ini terutama di Sabah.
Malah, menurut Hajiji ia demi kepentingan negeri, perpaduan selain memenuhi hasrat serta aspirasi rakyat untuk terus berjuang di bawah naungan sebuah parti tempatan. – Malaysiapost

