Jangan tinggalkan parti, pesan Annuar

0
2

TAN Sri Annuar Musa menitipkan nasihat terakhir kepada semua Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Ketereh agar jangan meninggalkan parti susulan ketiadaan beliau nanti.

Ketua Umno Bahagian Ketereh yang dipecat Umno semalam berkata, apa yang berlaku ke atasnya adalah kerana memilih berkata benar walaupun pahit.

“Malam tadi saya mengadakan pertemuan dengan semua AJK Umno Bahagian Ketereh yang saya pimpin selama 35 tahun

“Pesan saya pada mereka, jangan bersedih. Ini sebahagian dari harga perjuangan dan memilih untuk berkata benar,walaupun pahit.

“Pesan saya, buat masa ini, jangan tinggalkan parti. Banyak bersabar,” katanya di Facebook.

Dalam pada itu, Annuar memaklumkan akan mengadakan perjumpaan terakhir dengan semua kepimpinan cawangan Umno di Ketereh, petang ini.

“Petang ini jam 3 petang, saya bertemu dengan semua pemimpin 123 cawangan, wanita, pemuda dan puteri.

“Saya izinkan ucapan saya dibuat secara “live” di Facebook.Tiada apa pun yang perlu disembunyikan,Insyaallah,” katanya.

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang bermesyuarat kelmarin mengesahkan Annuar antara tiga pemimpin akar umbi parti itu yang dipecat keahlian masing-masing.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tindakan itu diambil mengikut fasal 10.6 Perlembagaan, yang memberi hak kepada parti untuk melucutkan keahlian mana-mana ahlinya.

Beliau berkata, ia termasuk jika seseorang ahli Umno itu terbukti melanggar Fasal 20.9 Perlembagaan parti serta perkara mengenai tata etika ahli.

Umno memecat ketiga-tiga pemimpin berkenaan kerana mencerca parti dan presiden parti. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here