SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan beberapa pihak berkaitan penyelewengan wang perbelanjaan negara berjumlah RM600 bilion.
Dalam satu kenyataan media, SPRM memaklumkan akan menjalankan siasatan secara terperinci, telus dan profesional dari semua sudut berkaitan isu ini.
“Sehubungan itu, mana-mana pihak yang mempunyai apa-apa maklumat, bukti atau dokumen yang berkaitan diminta untuk tampil ke pejabat SPRM terdekat untuk menyerahkan maklumat tersebut.
“Sekiranya perlu, SPRM juga boleh menghantar pegawai untuk mengambil maklumat atau dokumen tersebut,” kata kenyataan itu hari ini.
Kontroversi mengenai penggunaan dana kecemasan berjumlah lebih RM600 bilion ketika negara berdepan pandemik Covid-19 pernah dibangkitkan oleh bekas Ketua Menteri Melaka Adly Zahari pada 15 November lalu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kepada agensi berkaitan untuk menyiasat isu dana RM600 bilion yang didakwa diseleweng kerajaan terdahulu.
Menurut Anwar, Kementerian Kewangan telah memaklumkan beberapa pelanggaran melibatkan isu itu. – Malaysiapost

