MAINPP jumpa individu dilarang ceramah di Pulau Pinang minggu depan

0
3

MAJLIS Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) akan mengadakan pertemuan dengan individu yang dilarang memberi ceramah di negeri itu termasuk Datuk Mohd Kazim Elias, Isnin depan.

Yang Dipertuanya, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman berkata, pertemuan itu diaturkan selepas pihaknya menerima surat daripada beberapa individu tersebut pada awal November lalu.

“Pertemuan ini akan diadakan di pejabat saya di Komtar, Isnin depan, sebelum ini saya ada menerima surat yang memaklumkan hasrat beberapa individu termasuk Mohd Kazim untuk berbincang mengenai isu ini.

“Kita akan terangkan mengapa larangan tersebut dilaksanakan, saya difahamkan ada yang telah dapat pun tauliah,” katanya lapor Utusan Malaysia hari ini.

Sebelum ini, seramai 16 individu termasuk Ustaz Mohd Kazim dilarang mengadakan ceramah, khutbah atau majlis-majlis ilmu di negeri ini berikutan tidak mempunyai tauliah mengajar daripada MAINPP.

Menurut Ahmad Zakiyuddin, beliau akan memaklumkan kepada individu berkenaan bahawa mereka bukan disenaraihitamkan cuma dilarang kerana tidak mempunyai tauliah.

“Mereka boleh memohon kelulusan tauliah daripada MAINPP sekiranya mahu mengadakan kuliah agama secara berterusan di negeri ini.

“Mengadakan kuliah, ceramah atau majlis agama tanpa tauliah adalah perlanggaran peraturan yang serius, peraturan ini bukan sahaja wujud di Pulau Pinang malah semua negeri ada,” katanya.

Jelasnya, larangan yang dikeluarkan itu adalah salah satu usaha MAINPP dalam memperkemaskan sistem kuliah sedia ada. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here