PIHAK Pembelaan mewakili pendakwah selebriti, Pencetus Ummah (PU) Azman bercadang mengemuka representasi kepada Jabatan Peguam Negara, berkaitan lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal pada Februari dan Julai tahun ini.
Peguam, Mohamad Zahid Ahmad yang mewakili PU Azman atau nama sebenarnya Azman Syah Alias, 41, berkata, pihaknya perlu meneliti dokumen yang diserahkan pihak pendakwaan, sebelum menghantar representasi.
“Insya-Allah kita akan kemuka representasi kepada pihak pendakwaan untuk pertimbangan.
“Niat kita untuk teliti balik kes ini. Jika ada pertimbangan terbaik untuk ditarik balik. Kita akan cuba hantar surat itu (representasi),” katanya memetik laporan Berita Harian.
Beliau berkata demikian selepas selesai prosiding sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini.
Terdahulu dalam prosiding di hadapan Hakim Datin Surita Budin, Mohamad Zahid memohon tempoh sebulan setengah untuk meneliti dokumen, sebelum sebutan semula kes ditetapkan.
Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zainul Hashimi sebelum itu memaklumkan dua dokumen sedia diserahkan kepada pihak pembelaan hari ini.
Mahkamah kemudian menetapkan kes disebut semula pada 31 Januari depan.
Pada 12 Oktober lalu, Azman Syah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban, atas lima pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua remaja lelaki pada Februari dan Julai lalu.
Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Surita, selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa.
Mengikut tiga pertuduhan, tertuduh melakukan amang seksual fizikal dengan melakukan perbuatan kelucahan melampau, termasuk merangsang mangsa berusia 17 tahun.
Perbuatan itu dilakukan di ruang tamu dan tandas di sebuah rumah di Taman Tiara Sendayan di Nilai pada 6 Julai 2022 di antara jam 3 pagi hingga 5 pagi.
Tertuduh turut melakukan perbuatan sama terhadap mangsa berusia 16 tahun 10 bulan yang dilakukan pada 6 Julai 2022, di antara jam 3 pagi hingga 5 pagi di ruang tamu rumah sama dan pada 5 Februari 2022, di antara jam lebih kurang 8.30 malam hingga 12 tengah malam.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga disebat.
Semalam, Azman didakwa lagi di Mahkamah Majistret dan Sesyen Klang atas empat pertuduhan melakukan amang dan komunikasi seksual serta kelucahan melampau terhadap tiga remaja lelaki pada Februari, Jun dan Ogos lalu. – Malaysiapost
Kredit gambar Berita Harian

