Kabinet setuju nama MOTAC dikekalkan

0
3

MESYUARAT Kabinet pertama Kerajaan Perpaduan semalam, memutuskan untuk mengekalkan nama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata beliau akan sentiasa mementingkan segala perkara di bawah bidang kuasa MOTAC, bukan sahaja tertumpu kepada pelancongan, malah
berkaitan kesenian dan kebudayaan yang menjadi khazanah penting negara.

Katanya, keunikan Malaysia sebagai sebuah negara majmuk dan penuh kepelbagaian akan terus
dipelihara.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pemain industri dan pihak berkaitan kerana sudi memberi pandangan serta buah fikiran bagi menambahbaik lagi industri pelancongan, seni dan budaya di negara ini.

“Saya akan terus mengamalkan dasar pintu terbuka dan bersedia mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak bagi memastikan industri pelancongan, seni dan budaya di Malaysia dapat berkembang seterusnya memberi limpahan manfaat kepada masyarakat serta negara.

“Ini termasuk pakar profesional, berpengetahuan, berkemahiran tinggi, kreatif dan berbakat besar dalam sektor kebudayaan seperti penari tarian tradisional, pensyarah dan sebagainya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, King Sing memberi jaminan bidang kesenian dan kebudayaan akan dimartabatkan serta dibela sebaiknya.

Pada masa sama, katanya, peranan budayawan dan seniman dalam menyumbang kepada pembinaan negara tidak akan dipinggirkan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here