Agong bincang kerjasama ketenteraan Malaysia-UAE 

0
2

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Komander Tentera Darat Emiriah Arab Bersatu (UAE) Mejar Jeneral Saeed Rashid Al Shehhi di Abu Dhabi, semalam.

Istana Negara dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya, memaklumkan dalam sesi menghadap dan perbincangan bermula jam 11 pagi waktu tempatan itu, Seri Paduka Baginda dan Mejar Jeneral Saeed telah menyentuh berkenaan kerjasama dalam bidang ketenteraan antara Malaysia dan UAE berdasarkan kepentingan bersama kedua-dua negara.

“Sesi tersebut adalah antara aktiviti Seri Paduka Baginda dalam rangka lawatan khas ke Abu Dhabi selama empat hari yang berakhir semalam, atas persilaan peribadi Presiden UAE Yang Mulia Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan.

“Seri Paduka Baginda dijadualkan berangkat tiba di tanah air hari ini,” menurut Istana Negara.

Al-Sultan Abdullah, kelmarin berkenan menyaksikan perjanjian antara syarikat Petronas Abu Dhabi Sdn Bhd dengan Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC) di Abu Dhabi.

Hadir sama dalam majlis berkenaan, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Menurut Tengku Zafrul, perjanjian itu merupakan kerjasama meneroka dan menilai Unconventional Onshore Block 1 yang meliputi kawasan konsesi 2,000 kilometer persegi di wilayah Al Dhafra. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here