Aiman Hanif
UMNO sudah mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung syarat-syarat baharu yang akan dikemukakan parti itu
Pertemuan itu diatur selepas Biro Politik Umno membuat keputusan untuk mempertimbang semula sokongan parti itu terhadap Perikatan Nasional (PN).
Menurut sumber dalaman Umno, parti itu menghantar Bendahari Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebagai wakil bagi membincangkan perkara itu.
“Selepas mesyuarat Biro Politik Umno menghantar Ku Nan (Tengku Adnan) sebagai wakil untuk berbincang dengan Muhyiddin.
“Saya tidak pasti sama ada Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan turut serta dalam perbincangan itu ataupun tidak,” katanya kepada Malaysiapost.
Kelmarin, mesyuarat Biro Politik Umno membuat pertimbangan untuk menarik balik sokongan parti itu kepada kerajaan PN.
Parti itu akan mengemukakan syarat baharu secara bertulis bagi meneruskan sokongannya kepada PN yang dipimpin Muhyiddin.
Keputusan itu dibuat Umno beberapa jam selepas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Istana Negara bagi mempersembahkan sokongan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Anwar mendakwa dia mempunyai majoriti mencukupi bagi membentuk kerajaan baharu menggantikan PN.
Mengulas lanjut sumber berkata, hasil perbincangan itu akan dibentangkan dalam mesyuara Majlis Tertinggi (MT) Umno Sabtu ini.
Petang ini Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin dikediaman Presiden Bersatu itu.
Ketika ditemui media, Annuar berkata ia hanyalah pertemuan biasa dan tidak terkait dengan isu politik ketika ini.- Malaysiapost

