SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka memanggil Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana kerajaan berjumlah RM600 bilion.
Menurut sumber, selain Tengku Zafrul, dua lagi akan dipanggil ialah Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, lapor portal Getaran.
Difahamkan, siasatan itu dipercayai berkaitan dakwaan penyelewengan RM600 bilion semasa Muhyiddin menerajui kerajaan, terutama ketika negara berdepan ancaman pandemik Covid-19.
Sementara, Tengku Zafrul dilantik sebagai Menteri Kewangan semasa pentadbiran Muhyiddin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Dalam pada itu, Khairy pula memegang jawatan sebagai Menteri Sains dan Teknologi, sebelum dilantik Ismail Sabri sebagai Menteri Kesihatan pada Ogos tahun lalu.
Perkara itu dilaporkan Datuk Ahirudin Attan atau lebih dikenali sebagai RockyBru dalam blog miliknya.
Semalam, SPRM mengesahkan sudah membuka kertas siasatan isu dana RM600 bilion yang didakwa diseleweng kerajaan terdahulu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan perkara itu, tetapi enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai siasatan berkenaan.
Sebelum ini, Muhyiddin menegaskan beliau tidak takut disiasat berhubung dakwaan kerajaan pimpinannya membelanjakan RM600 bilion.
Muhyiddin yakin Kementerian Kewangan khususnya Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) mempunyai perincian mengenai perbelanjaan bagi lapan pakej rangsangan diperkenalkan semasa beliau Perdana Menteri. – Malaysiapost
Kredit foto: Sumber kini

