Lebih 90 rumah terjejas banjir di Felda Sungai Kemahal

0
3

LEBIH 90 rumah di Felda Sungai Kemahal, Triang, Pahang terjejas akibat banjir berikutan hujan lebat berterusan, malam tadi.

Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman atau Rara, berkata jumlah rumah dan mangsa yang terlibat dalam bencana banjir itu mungkin akan meningkat kerana bancian masih lagi dijalankan.

“Pengurus Felda Sungai Kemahal, Encik Fazeli memaklumkan kepada saya jumlah rumah dan mangsa mungkin akan meningkat kerana bancian masih lagi dijalankan oleh pihak Felda.

“Kebanyakan mangsa tidak sempat menyelamatkan harta benda mereka,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Sehubungan itu, Young Syefura meminta mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) atau sukarelawan yang ingin membantu mangsa banjir boleh menghubungi Pengurus Felda Sungai Kemahal, Fazeli di talian 019 6739881.

Katanya, tinjauan beliau ke kawasan penduduk yang terjejas banjir turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun, Penghulu Pelangai, Syaharul Alimi dan pegawai-pegawai agensi yang lain.

“Saya kini dalam perjalanan untuk meninjau kawasan-kawasan banjir yang lain di dalam DUN Pelangai,” katanya.

Hantaran tersebut turut menerima respon daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Ahmad Zahid menerusi ruangan komen memaklumkan akan mengambil tindakan segera bagi membantu mangsa banjir yang terjejas.

“Saya sudah menerima info berkenaan situasi ini dan akan mengambil tindakan segera untuk membantu mangsa banjir dan membaiki kerosakan akibat bencana ini,” tulis Ahmad Zahid. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here