TINDAKAN Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri menunjukkan Malaysia tidak berpegang kepada “rule of law”.
Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri keempat dan ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini, mengulas keputusan Perdana Menteri melantik Presiden Umno itu di jawatan nombor dua kerajaan perpaduan, lapor portal Malaysia Now.
Ini kerana menurut Dr Mahathir, Ahmad Zahid kini berdepan 47 pertuduhan kes di mahkamah dan keputusan melantik Ahli Parlimen Bagan Datuk itu sebagai Timbalan Perdana Menteri disifat menghairankan.
“Jika kita nak bersihkan negara, kita tak boleh pilih orang yang dianggap melakukan jenayah.
“Ya dia belum terbukti bersalah, tetapi jika seseorang itu dihadapkan walaupun dengan satu kes, itu sudah menunjukkan dia tidak layak jadi pemimpin,” katanya.
Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu ditemui media pada Majlis Pelancaran Buku 40 Tahun Dasar Pandang Ke Timur di ibu negara.
Dr Mahathir juga enggan mengulas panjang mengenai kerajaan perpaduan pimpinan Anwar yang didominasi Pakatan Harapan (PH) bersama Umno.
“Saya nak perhatikan apa yang akan berlaku,” katanya ringkas.
Mengenai masa depan parti Pejuang pimpinannya yang kalah teruk pada PRU15 lalu, beliau mengakui kekalahan namun tetap berpegang kepada prinsip.
“Kita berjuang untuk bersihkan negara dan akan teruskan perjuangan ini walaupun ditolak oleh semua orang,” katanya. – Malaysiapost

