KEGIATAN penyeludupan daun ketum terbongkar dalam kejadian kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Jalan Gua Musang-Kuala Krai, hari ini.
Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, polis menemui 158 kilogram (kg) daun ketum dianggar bernilai lebih RM4,000 dalam but kereta Toyota Vios.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila Toyota Vios dipandu lelaki berusia 24 tahun dari arah Kuala Krai, hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.
Katanya, pemeriksaan lanjut di dalam but kereta yang dipandu lelaki itu telah menjumpai sebanyak 158 kilogram daun ketum.
“Siasatan mendapati kesemua daun ketum yang ditemui itu bernilai RM4,740,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Choon Foo berkata, pemandu kereta jenis Honda City patah tangan kanan dan kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk rawatan lanjut.
Katanya, suspek masih dirawat di hospital itu dan kini berada dalam keadaan kritikal.
Tambahnya, kes disiasat memg Seksyen 43 (1) Akta Pengankutan Jalan 1987 dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952. – Malaysiapost

