TAN Sri Muhyiddin Yassin mendakwa isu RM600 bilion dibelanjakan ketika pandemik Covid-19 dan penggunaan duit hasil judi bagi membiayai kempen Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sengaja direka.
Menurut Pengerusi PN itu, ia bertujuan memburuk-burukkan PN setelah rakyat jelas menolak Pakatan Harapan (PH) dan Umno dalam PRU15 bulan lalu.
“Saya nak beritahu PN bukanlah sengkek sangat dan kita tidak akan terima walau satu sen pun duit haram dari mana-mana pihak terutamanya syarikat perjudian.
“Kita sudah haramkan premis-premis judi di beberapa negeri yang kita kuasai, takkan kita nak ambil duit judi? Wallahi kami takkan lakukan perkara haram begitu!
“Saya mencabar mereka yang membuat fitnah itu memberi bukti dan membuat laporan kepada pihak berkuasa dan bukannya sekadar cakap kosong,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Muhyiddin membuat kenyataan itu sebagai reaksi balas terhadap gesaan pihak tertentu untuk menyiasat dakwaan perbelanjaan hampir RM600 bilion ketika kerajaan diterajui beliau.
Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membayangkan sebahagian dana pilihan raya PN datang daripada syarikat perjudian.
Justeru, beliau mengarah Kementerian Kewangan menyemak bagi mengesahkan sama ada dana pilihan raya untuk gabungan tersebut datang dari syarikat perjudian.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, beliau percaya fitnah tersebut tidak sedikit pun melemahkan semangat PN, malah menjadikan ia terus kuat bagi mencapai cita-cita menubuhkan sebuah kerajaan prihatin, bersih dan stabil. – Malaysiapost

