Ahli politik perlu laksanakan tugas, hentikan bercakap soal kuasa

0
3
Mohammad Amirul Saharuddin

Nurul Huda Abhar

PEMIMPIN politik yang baik adalah mereka yang melaksanakan tanggungjawab menjaga kepentingan rakyat, bukannya hanya bercakap soal kuasa dan politik semata-mata.

Ketua Pemuda Dewan Ikatan Perak (DPIP), Mohammad Amirul Saharuddin berkata, pada masa kini hampir ke semua muka depan akhbar memaparkan betapa rakusnya segelintir pemimpin politik hanya bercakap soal kuasa.

“Tidak cukup dengan sikap Anwar Ibrahim yang dilihat kemaruk jawatan Perdana Menteri, ditambah lagi dengan isu dalaman kerajaan Perikatan Nasional (PN) apabila salah seorang Ahli Parlimen dalam kerajaan sekarang akan mengusulkan cadangan undi tidak percaya terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Persoalanya wajarkah di waktu begini? Kebanyakn rakyat berasa kecewa terhadap pemimpin yang sepatutnya diamanahkan untuk menjaga kebajikan rakyat namun menjadi sebaliknya apabila soal parti pula yang diutamakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, semua ahli politik perlu sedar bahawa keadaan sekarang adalah tidak sepatutnya berlaku, di mana kini pandemik Covid-19 sedang mengganas.

Tambahnya, jangan disebabkan kesilapan yang dilakukan ahli politik menyebabkan rakyat terpaksa menanggung akibat daripada kesalahan tersebut.

“Maka DPIP mendesak ahli politik segera menghentikan soal kuasa dan siapa yang lebih layak mengepalai nakhoda pucuk pimpinan negara. Sebagai ahli politik jangan hanya bercakap manis di mulut kerana rakyat benar-benar sedang memerhatikan tingkah laku ahli-ahli politik,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan berkata telah menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi mempersembahkan senarai 120 nama ahli yang menyokong sebagai Perdana Menteri yang baharu.

Susulan itu, Istana Negara dalam kenyataan memberitahu tidak menerima sebarang dokumen yang mengesahkan jumlah sokongan yang dikatakan oleh ketua pembangkang itu.

Juga, Umno menerusi kenyataan Selasa lalu memberi isyarat baharu melalui perjanjian bertulis kepada kerajaan PN untuk dilaksanakan secepat mungkin bagi meneruskan kerjasama politik. Malaysiapost