ISLAM tidak membenarkan membuat pertuduhan semata-mata dan melarang mencipta persepsi atas tuduhan kerana akan membentuk kesan besar kepada semua pihak.
Perkara itu ditegaskan bekas Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berhubung isu dana Perikatan Nasional (PN) yang didakwa daripada syarikat perjudian.
Katanya, beliau kekal dengan prinsip “seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya” kerana itu adalah prinsip keadilan Islam dan prinsip dunia undang-undang sejagat.
“600 bilion? Dana syarikat perjudian? Hari ini ramai mula berhempas pulas menafikan tuduhan.
“Media sosial politik penuh dengan status menafi dan ada yang mula maki hamun dan mencerca serta membalas tuduhan dengan tuduhan,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Mohd Khairuddin berkata, perkara tersebut memberi gambaran betapa peritnya menghadapi satu tuduhan kerana ia memerlukan penafian yang panjang kerana persepsi telah terbentuk.
Dalam pada itu, beliau memetik satu potongan akujanji sahabat Nabi Muhammad SAW dengan Baginda yang berbunyi “kamu berakujanji (berbaiah) jangan mendatangkan berita palsu dan pembohongan yang direka-reka di khalayak ramai”.
Bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus itu mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membayangkan sebahagian dana pilihan raya PN datang dari syarikat perjudian yang terlibat dengan cabutan khas judi.
Beliau turut mengumumkan penurunan jumlah cabutan undi dari 22 kali kepada lapan kali setahun. – Malaysiapost

