Agong, Tengku Zafrul saksi perjanjian Petronas dengan ADNOC di Abu Dhabi

0
2

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyaksikan perjanjian antara syarikat Petronas Abu Dhabi Sdn Bhd dengan Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC) di Abu Dhabi.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menurut Tengku Zafrul, perjanjian itu merupakan kerjasama meneroka dan menilai Unconventional Onshore Block 1 yang meliputi kawasan konsesi 2,000 kilometer persegi di wilayah Al Dhafra.

“Pemeteraian perjanjian ini menunjukkan keupayaan bersaing syarikat-syarikat Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Ia juga mencerminkan hubungan rapat dua hala perdagangan Malaysia-UAE dan meningkatkan lagi silaturahim kedua-dua buah negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tengku Zafrul turut berharap untuk melihat lebih banyak syarikat Malaysia berjaya di persada antarabangsa sekali gus membuktikan lagi kebolehan Malaysia sebagai pesaing kelas pertama dalam kalangan pemain-pemain industri dunia.

Majlis itu turut dihadiri Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE) Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan,
Menteri Industri dan Teknologi Maju UAE merangkap Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif ADNOC, Dr Sultan Ahmed Al Jaber dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Datuk Tengku Muhammad Taufik.

Tengku Zafrul yang baru dilantik sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menghadiri mesyuarat khas Kabinet Kerajaan Perpaduan semalam.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here