Kempen Parlimen Padang Serai, DUN Tioman tamat malam ini

0
2

TEMPOH 13 hari berkempen bagi Parlimen Padang Serai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman yang bermula 24 November, akan tamat pada jam 11.59 malam ini.

Ini bermakna selepas tempoh berkenaan, setiap calon daripada parti bertanding dilarang berkempen untuk merayu undi bagi kedua-dua kawasan terbabit.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), di bawah subseksyen 26(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 melarang diadakan, memanggil atau mengaturkan sebarang bentuk perjumpaan, perhimpunan, pertunjukan, hiburan atau memberi ucapan terbuka.

Akta tersebut juga melarang membekalkan apa-apa alat pembesar suara bagi maksud politik dan melarang membuka pejabat atau barung di dalam bahagian pilihan raya semasa hari pengundian.

Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di kedua-dua kawasan tersebut ditangguhkan susulan kematian calon iaitu M Karupaiya dari Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Padang Serai dan Md Yunus Ramli mewakili Perikatan Nasional (PN) di DUN Tioman.

Karupaiya, 69, meninggal dunia pada 16 November lalu dipercayai akibat serangan jantung dan komplikasi kesihatan manakala Md Yunus, 61, disahkan meninggal dunia beberapa jam sebelum proses pengundian PRU15 pada 19 November lepas.

Perebutan kerusi Parlimen Padang Serai menyaksikan pertembungan enam penjuru antara calon PH Dr Mohamad Sofee Razak, Datuk C Sivaraajh (Barisan Nasional-BN), Datuk Azman Nasrudin (PN) dan Hamzah Abd Rahman (Pejuang).

Dua lagi pencabar ialah Mohd Bakhri Hashim mewakili Warisan dan calon bebas Sreanandha Rao.

Sementara itu, DUN Tioman menyaksikan pertembungan lima penjuru melibatkan calon PN Nor Idayu Hashim, Datuk Seri Mohd Johari Hussain (BN), Osman A Bakar (Pejuang) dan Sulaiman Bakar (Bebas).

Calon lain, Mohd Fadzli Mohd Ramly dari PH, mengumumkan memberi laluan kepada calon BN untuk meningkatkan peluang untuk menang tetapi namanya (Mohd Fadzli) masih tertera di kertas undi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here