PAS menegaskan tiada usaha untuk menggulingkan kerajaan sedia ada, kata Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu menjawab pertanyaan media berhubung kenyataan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang mendakwa usaha sedang dibuat untuk memastikan PN menjadi kerajaan.
Beliau berkata, usaha menjatuhkan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) ketika ini akan dilakukan secara demokrasi dalam Pilihan Raya Umum akan datang.
“Sekurang-kurangnya untuk pilihan raya akan datang. Pengaruh yang kita ada sekarang ini kita lanjutkan lagi,” katanya ketika ditemui di luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul petang ini.
Beliau dipanggil bagi memberi keterangan kepada polis susulan beberapa laporan dibuat terhadapnya sebelum ini.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata PN akan melihat perkembangan semasa apakah reaksi rakyat terhadap kerajaan hari ini.
“Kerajaan yang saya lihat …nak beri nama apa tak tahu,” katanya.
Semalam Shahidan memberi gambaran Kabinet pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan bertahan lama.
“Kita bersyukur, petanda yang baik sekarang ini ialah sokongan kepada PN luar biasa. Saya ucap tahniah kepada barisan Kabinet Anwar Ibrahim. Kita redalah apa yang berlaku.
“Jadi kami sedang berusaha supaya Kabinet ini tidak tahan lama dan insya-Allah kami yang akan kembali memerintah berdasarkan mandat rakyat,” katanya. – Malaysiapost

