Jangan biarkan demokrasi negara dirampas politik toksik – Kit Siang

0
2

MALAYSIA perlu menghayati pengajaran dari Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dan ke-15 dan tidak boleh membenarkan demokrasi di negara ini dirampas melalui politik toksik penipuan, syak wasangka, kebencian, perkauman dan keagamaan, tegas veteran DAP Lim Kit Siang.

Menurutnya, salah satu pengajaran dari kerajaan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan adalah realiti menyeramkan mengenai pertembungan teknologi digital dan kesihatan demokrasi, dimana teknologi digital boleh mengubah landskap politik dengan penipuan, fitnah, dan berita palsu melalui media sosial seperti WhatsApp, Facebook, Twitter, podcast, Telegram, dan TikTok.

Beliau berkata, langkah pertama usaha menumbangkan kerajaan PH adalah melalui kempen penipuan, syak wasangka, kebencian, sentimen perkauman, dan keagamaan melalui fitnah yang mengatakan kononnya DAP anti Melayu, Islam dan Raja.

“Dalam PRU-15 pula, DAP sekali lagi difitnah sebagai anti Melayu dan anti Islam, dengan fitnah tambahan yang DAP kononnya komunis dan mempromosikan Islamofobia, dengan niat untuk mewujudkan syak wasangka dan kebencian perkauman dan keagamaan untuk merampas proses demokrasi di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kit Siang berkata, barisan Kabinet pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu mengatasi masalah penyebaran maklumat palsu dan polarisasi di media sosial, yang kini menjadi ancaman terhadap proses demokrasi berparlimen di Malaysia.

“Kita tidak boleh membiarkan politik toksik penipuan, kebencian, syak wasangka, perkauman, dan keagamaan terus berleluasa kerana perkara ini boleh merosakkan demokrasi berparlimen di Malaysia dan menghumban negara kita ke arah menjadi sebuah negara gagal, berpecah belah, dan kleptokratik.

“Sebelum PRU-14, politik toksik sebegini menuduh yang saya bakal menjadi Perdana Menteri Malaysia sekiranya PH menang dalam PRU-14,” katanya.

Beliau berkata banyak lagi fitnah lain yang dihadapinya termasuk menuduh bahawa kononnya beliau kuasa sebenar dalam kerajaan PH selama 22 bulan dengan Perdana Menteri dan pemimpin parti komponen lain hanya boneka, serta dituduh sebagai pengkhianat kepada “bangsa Cina” di hadapan orang Cina di Malaysia.

“DAP telah dimomokkan dengan pelbagai penipuan dan fitnah, tetapi Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, adalah satu-satunya pemimpin politik di Malaysia yang pernah mengorbankan masa hadapan kerjaya politiknya sebagai Ahli Parlimen, malah ke penjara, dengan melintasi garisan etnik, untuk mempertahankan maruah seorang gadis Melayu bawah umur, ketika dia merupakan Ahli Parlimen Kota Melaka pada tahun 90-an.

“Tidak ada pemimpin politik lain, baik dari UMNO, MCA, MIC, PAS, atau mana-mana parti politik lain yang pernah membuat pengorbanan sebegini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here