Umno kekal pertahan Melayu Islam walau kerjasama dengan PH – Asyraf Wajdi

0
2

UMNO akan sentiasa kekal berpendirian mempertahankan perlembagaan termasuk kedudukan Raja-Raja Melayu, hak istimewa Bumiputera dan kedudukan Islam.

Menurut Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, ia perkara yang tidak pernah Umno kompromi apabila bekerjasama membentuk kerajaan dengan Pakatan Harapan (PH).

Sehubungan itu beliau mengingatkan parti lawan agar tidak memainkan isu perkauman keterlaluan susulan kerjasama Umno dengan PH.

“Satu perkara yang cuba ditutup sesetengah pihak adalah kemampuan Umno untuk kekal mempertahan kedudukan Melayu Islam ketika bekerjasama dengan DAP.

“Berbeza dengan pengalaman PAS dan PPBM (Bersatu) ketika berada dalam kerjasama dengan parti berkenaan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Sebagai contoh Asyraf Wajdi menjelaskan, ketika PAS bersama DAP memerintah Perak tahun 2008, DAP mendapat tujuh jawatan Exco dan Speaker.

“Sedangkan ketika bekerjasama dengan Umno tahun ini, DAP bersetuju memegang empat jawatan Exco sahaja. Walhal jumlah Adun DAP Perak pada 2008 dan tahun ini sama sahaja iaitu 18.

“Begitu juga ketika PPBM bergabung dengan DAP membentuk kerajaan PH pada 2018. DAP memperoleh enam jawatan menteri penuh termasuk Menteri Kewangan.

“Tetapi apabila Umno bekerjasama dengan DAP tahun ini selepas dititah Tuanku Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan kerajaan perpaduan, DAP telah berkompromi untuk memegang empat menteri penuh sahaja,” katanya.

Tambahnya, Umno pula mendapat enam menteri penuh termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Ini katanya, menunjukkan kemampuan Umno untuk memastikan kerajaan hari ini kekal berteraskan Melayu Islam sepertimana citra bangsa Malaysia serta kompromi generasi pimpinan baharu DAP yang lebih memahami fabrik sosial negara berbanding generasi sebelumnya.

“Apapun berikan peluang kepada kerajaan hari ini memerintah. Tidak perlu terganggu dan kecewa gagal menjadi kerajaan. Jadilah pembangkang bermaruah sepertimana yang diikrarkan.

“Bukannya mencari populariti dengan menjual naratif ketakutan,” katanya lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here