Muhyiddin dakwa PH guna PDRM tekan pembangkang

0
2

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa Pakatan Harapan (PH) kini menggunakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menekan pihak pembangkang.

Menurutnya, PDRM dikatakan diarah menyiasat Timbalan Pengerusi PN Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung atas dakwaan menuduh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai agen Israel.

Beliau yang juga Presiden Bersatu berkata, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil dalam kenyataannya baru-baru ini.

Muhyiddin berkata, Ahli Parlimen Lembah Pantai yang baru dilantik sebagai Menteri Komunikasi Digital itu membuat kenyataan bahawa Perdana Menteri telah mengarahkan polis supaya menyiasat Abdul Hadi atas dakwaan berkenaan, namun dinafikan PDRM.

“Nampaknya, baru beberapa hari menjadi kerajaan, PH tanpa segan silu telah menggunakan pihak polis untuk menekan pemimpin yang tidak sehaluan dengan mereka.

“Ini adalah percubaan yang jelas untuk mendiamkan perbezaan pendapat. Ini berbeza sekali dengan janji reformasi institusi mereka untuk menjamin kebebasan institusi-institusi penting negara tanpa campur tangan politik termasuk PDRM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Muhyiddin, beliau tidak hairan dengan kemungkiran janji-janji pemimpin PH yang sebelum pilihan raya bermati-matian menafikan akan bekerjasama dengan puak kleptokrat.

“Selepas pilihan raya, mereka tanpa segan silu berpeluk cium dan membentuk kerajaan bersama-sama, sehinggakan ada yang membuat parodi lagu ‘dulu benci penyamun, sekarang sayang penyamun’,” katanya.

Fahmi sebelum ini memaklumkan Perdana Menteri telah mengarahkan polis mengambil tindakan terhadap pihak yang membuat fitnah atau mengeluarkan kenyataan keterlaluan sehingga boleh mengancam keharmonian negara.

Menurutnya, perkara itu dibincangkan semasa mesyuarat Majlis Presiden PH pada 28 November lalu . – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here