PN tak malu masih dendangkan “kita sudah boleh menubuhkan kerajaan” – Mohd Khairuddin

0
2
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=657284512439398&set=pb.100044735640354.-2207520000.&type=3

PERIKATAN Nasional (PN) digesa menerima hakikat gagal membentuk kerajaan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan parti itu perlu kembali mengamalkan politik matang.

Bekas Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata tindakan pimpinan gabungan itu yang tanpa rasa malu masih mendendangkan “kita sudah boleh menubuhkan kerajaan” juga perlu dihentikan.

Menurutnya, Kerajaan Perpaduan yang terbentuk sekarang ini jelas mempunyai sokongan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Warisan, Parti Bumiputera Malaysia (PBM), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), dan Bebas.

“Kenapa kita berkempen atas nama “bersih” tetapi mahu dibina kerajaan secara “tidak bersih” dengan usaha “mencuri” Ahli Parlimen daripada parti tanpa persetujuan parti dan ketua parti?

“Tidakkah Akta Anti Lompat Parti kita semua persetujui untuk membendung gejala lompat parti dalam membentuk kerajaan?

“Jika berjaya dibentuk kerajaan sebegini ia bukannya kerajaan yang stabil. Ia hanya akan mengulangi ketidakstabilan kerajaan PN sebelum ini dengan angka Ahli Parlimen 73 PN, 23 GPS, 6 GRS dengan 10 Ahli Parlimen BN, jumlahnya cukup-cukup 112,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, disebabkan keadaan itu, Yang di-Pertuan Agong bertindak penuh bijaksana menyarankan Kerajaan Perpaduan yang menggabungkan semua pihak yang sememangnya tidak boleh membentuk kerajaan secara bersendiri.

“Tapi malang Agong pula dituduh sebagai “pengadil” yang menambah masa kecederaan.

“Tanpa rasa malu dan segan masih didendangkan “kita sudah boleh menubuhkan kerajaan”, sedang GPS dan GRS sendiri secara jelas telah menyokong membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Dengan bilangan Ahli Parlimen ialah PH (82), BN (30), GPS (23), GRS (6), Warisan (3), PBM (1), KDM (1) dan Bebas (2) menjadikan semua 148 iaitu dua pertiga majoriti. Jika masih mahu dicuri 10 Ahli Parlimen BN pun masih ada angka 138,” katanya.

Justeru Mohd Khairuddin, menggesa PN berhenti mencipta persepsi dan menerima hakikat serta bergerak ke hadapan.

“Amalkan kembali BPMS (Budaya Politik Matang Sejahtera). Marilah kita membina negara yang bersatu padu tanpa politik benci membenci.

“Parlimen akan bersidang pada 19 Disember ini. Boleh diusulkan undi tidak percaya jika belum berpuas hati,” katanya.

Terdahulu tular video memaparkan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan PN sudah mempunyai 115 kerusi Parlimen sebelum ini yang dipersembahkan kepada Agong untuk menubuhkan kerajaan pasca PRU-15.

Beliau mendakwa, bagaimanapun PH diberi ‘masa tambahan’ hingga dapat membentuk Kerajaan Perpaduan yang ada sekarang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here