DATUK Seri Reezal Merican Naina Merican mengucapkan terima kasih kepada warga Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang telah memberikan kerjasama baik sepanjang beliau menjadi menteri di kementerian berkenaan.
Menerusi hantaran di Facebook, Reezal mengucapkan tahniah kepada penggantinya, Nga Kor Ming yang telah mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, semalam.
“Terima kasih KPKT! Pengumuman barisan Jemaah Menteri telah pun dibuat Perdana Menteri pada 3 Disember lalu. Setinggi ucapan tahniah buat Nga Kor Ming di atas pelantikan sebagai Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan yang baharu.
“Di kesempatan ini juga saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada warga KPKT atas segala komitmen serta kerjasama yang diberikan sepanjang saya diberi mandat menerajui KPKT sejak September 2021.
“Alhamdulillah banyak yang telah dapat kita laksanakan sebagai satu pasukan di bawah Agenda Malaysia Berdaya Huni atau Liveable Malaysia,” katanya.
Reezal yang gagal mempertahankan kerusi Parlimen Kepala Batas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu, turut mendoakan KPKT terus cemerlang berkhidmat kepada rakyat dan negara.
“Saya doakan pasukan KPKT akan terus cemerlang sebagai sebuah kementerian yang dekat dengan rakyat, untuk memacu Malaysia ke hadapan. Insya Allah,” katanya. – Malaysiapost

