AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menahan sebuah bot nelayan tempatan Kelas A yang menggajikan kru warga asing di perairan Kuala Selangor, pada jam 10.45 pagi semalam.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim V Siva Kumar, berkata bot berkenaan ditahan ketika melakukan aktiviti perikanan di kedudukan 3.1 batu nautika Kuala Selangor dalam rondaan rutin Op Ehsan dan Op Benteng Laut.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati, bot terbabit dikendalikan oleh tiga kru termasuk tekong warga Myanmar berusia lingkungan 31 hingga 39 tahun tanpa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Bot bersama kru dibawa ke jeti Polis Marin Pulau Indah untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia bagi tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen kerana menggajikan warga asing tanpa kebenaran bertulis dari Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/63 kerana melanggar syarat pas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan Maritim Malaysia memandang serius dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan di perairan negara serta akan terus melakukan rondaan dan pemantauan di sempadan negara.
“Sebarang aduan dan maklumat mengenai kegiatan jenayah serta kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi MaritimNegeri Selangor di talian 03-31760627 atau MERS 999 untuk tindakan,” katanya. – Malaysiapost

