Dr Zaliha beri tumpuan Belanjawan 2023 KKM

0
3
https://www.suarakeadilan.my/post/pas-akui-sahajalah-kerajaan-pn-telah-gagal-dr-zaliha

MENTERI Kesihatan yang baharu, Dr Zaliha Mustafa mengharapkan sokongan dan dokongan para penjawat awam serta pakar-pakar pengamal perubatan yang amat dedikasi dalam menjayakan setiap perancangan yang direncanakan kementeriannya kelak.

Ahli Parlimen Sekijang itu, bersyukur kerana Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendengar luahan akar umbi dan rakyat agar portfolio Menteri Kesihatan disandang oleh seorang pengamal perubatan, dan menunaikannya.

“Ini adalah suatu amanah besar yang diberikan kepada saya, taklifan sebagai Menteri Kesihatan pada sesi ini.

“Memegang portfolio kesihatan adalah sesuatu yang dekat di hati saya. Alhamdulillah Perdana Menteri ke-10 telah mendengar luahan akar umbi dan rakyat agar potfolio ini disandang oleh seorang pengamal perubatan, dan perkara ini telah pun ditunaikan.

“Saya yakin Kementerian ini amat penting kerana menjadi fokus utama rakyat Malaysia khususnya di era pasca pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya semalam.

Beliau berkata, selain itu urusan lazim harian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seperti isu-isu penempatan doktor-doktor siswazah, halatuju pakar-pakar yang seimbang, isu perkhidmatan kesihatan yang lebih baik dan memenuhi keperluan rakyat, isu golongan marginal, isu infrastruktur dan pelbagai keperluan kesihatan dan hospital, isu kesihatan mental, isu perbekalan ubat-ubatan dan lain-lain akan diberi perhatian kembali.

“Saya tahu ramai yang teruja dengan lantikan ini dan tidak sampai 24 jam selepas pengumuman dibuat Perdana Menteri, saya telah dihujani dengan pelbagai cadangan pembaikan sektor Kesihatan.

“Bagi saya itu adalah petanda yang baik bahawa rakyat memberi perhatian besar kepada perkhidmatan kesihatan yang menjadi keperluan asas kepada semua golongan,” katanya.

Dr Zaliha berkata, keutamaannya terdekat ini adalah meneliti persiapan Belanjawan 2023 yang akan dibentang dalam sidang Parlimen bermula pada 19 Disember 2022 nanti dan beliau berharap sektor kesihatan akan diberikan peruntukan yang menyeluruh dan memenuhi keperluan.

“Akhir sekali, saya mengharapkan sokongan dan dokongan para penjawat awam dan pakar-pakar pengamal perubatan yang amat dedikasi dalam menjayakan setiap perancangan yang direncana kelak.

“Pengalaman, kepakaran, dan kecekalan penjawat awam dan pakar-pakar pengamal perubatan sudah pasti amat diharapkan agar sektor kesihatan di negara ini mampu menyaingi perkhidmatan negara-negara maju yang lain,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here