Tok Mat yakin Kerajaan Perpaduan mampu tangani pelbagai cabaran

0
2

BARISAN Menteri Kabinet Kerajaan Perpaduan yang baharu mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di Pertuan Agong hari ini mampu mendepani pelbagai cabaran termasuk kemelesetan ekonomi dunia tahun hadapan.

Keyakinan itu disuarakan Datuk Seri Mohamad Hasan yang turut dilantik sebagai Menteri Pertahanan berkata, Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu menangani pelbagai cabaran yang bakal dihadapi kelak.

“Saya yakin dan percaya akan terdapat pelbagai cabaran Kerajaan Perpaduan ini pada penggal ini akibat kesan Covid-19 dan kemelesetan ekonomi dijangka pada tahun 2023.

“Semoga kerjasama wakil rakyat pelbagai parti dalam kerajaan ini akan dapat ditangani pelbagai cabaran mendatang,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Timbalan Presiden Umno itu turut menzahirkan kesyukuran atas pelantikan beliau sebagai Menteri Pertahanan.

“Alhamdulillah, mensyukuri perlantikan ini dengan rasa rendah diri. Terima kasih kepada YAB Perdana Menteri memberi saya peluang berkhidmat dalam Kerajaan Perpaduan yang bersejarah ini. Penghargaan saya juga kepada YAB TPM yang juga pengerusi Barisan Nasional.

“Terima kasih juga kepada pengundi saya di Parlimen Rembau khususnya yang memberi saya peluang untuk berkhidmat. Kepercayaan ini saya tidak akan ambil mudah dan akan melaksanakan tugas yang diamanahkan sebaiknya, Insyallah,” katanya.

Petang tadi, dua Timbalan Perdana Menteri dan 25 Menteri selesai mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di Pertuan Agong di Istana Negara. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here