KURANG 24 jam pengumuman barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan semalam, tular video pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang memberi bayangan wujud komplot bagi menjatuhkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.
Video berdurasi 43 saat itu dimuat naik menerusi Facebook bekas Perdana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini.
Rakaman video itu memaparkan calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin dalam ceramah kempen mendakwa ada gerakan dalam pemimpin Umno untuk menjatuhkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden parti itu.
Ahmad Zahid diumumkan sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dalam Kabinet kerajaan baharu.
“Jangan gundah gulana, jangan bersedih dan kecewa Perikatan Nasional masih belum dapat menubuhkan kerajaan.
“Kita nak tengok berapa hari kerajaan baharu Anwar Ibrahim boleh bertahan.
“Pemilihan Umno akan berlaku dalam masa enam bulan. Kempen-kempen oleh pemimpin Umno yang menentang Zahid Hamidi sekarang sedang digerakkan.
“Pemimpin-pemimpin yang bukan kleptokrasi. Geng-geng (Tan Sri) Annuar Musa, Khairy Jamaluddin, (Datuk Seri) Hishammuddin sedang berusaha kalahkan Zahid Hamidi, “ katanya dalam video itu.
Malam tadi, Anwar mengumumkan mengumumkan barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan yang membabitkan 28 menteri termasuk beliau yang turut memegang portfolio Menteri Kewangan selain Perdana Menteri.
Beliau juga mengumumkan dua jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) yang masing-masing turut memegang portfolio kementerian lain. – Malaysiapost

