METMalaysia keluarkan amaran tahap buruk dan waspada

0
2
Kelihatan hujan lebat di Kuala Lumpur petang tadi.

JABATAN Meteorologi Malaysia (METMalaysia) hari ini mengeluarkan dua amaran membabitkan Amaran Hujan Berterusan (Buruk dan Waspada) dan Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora (Kategori Pertama dan Kedua).

Amaran itu dikeluarkan susulan Ramalan Cuaca Signifikan bagi tempoh 3 hingga 9 Disember ini yang dibuat berdasarkan analisis model-model cuaca.

Ketua Pengarah METMalaysia Muhammad Helmi Abdullah, berkata berdasarkan analisis berkenaan, angin timuran kencang dijangka bertumpu di Pantai Timur dan Utara Semenanjung sehingga 4 Disember 2022 yang berpotensi menyebabkan hujan lebat berterusan di kawasan terbabit.

“Pada masa yang sama, wujud satu sistem cuaca tekanan rendah di perairan Laut China Selatan. Keadaan ini boleh meningkatkan intensiti hujan di kawasan berkenaan.

“Amaran Hujan Berterusan (Buruk dan Waspada) telah dikemaskini melibatkan negeri-negeri Pantai Timur dan Utara Semenanjung yang berkuatkuasa sehingga 3 Disember 2022,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, dalam masa yang sama, Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora (Kategori Pertama dan Kedua) juga telah dikemaskini untuk perairan Kelantan, Terengganu, Tioman, Condore, Reef North, Layang-Layang dan Palawan yang berkuatkuasa sehingga 4 Disember 2022.

“Orang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here