BARISAN Nasional (BN) perlu menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, bagi menjaga maruah parti dan rakan gabungannya Pakatan Harapan (PH).
Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kemenangan di kerusi itu juga signifikan bagi menyeimbangkan kedudukan jumlah kerusi di DUN Pahang, dalam menjamin kestabilan dan kemakmuran rakyat.
“Kita tak ada pilihan setakat hari ini kedudukan (sentimen pengundi) masih 50-50, tetapi saya dimaklumkan graf (sokongan kepada BN) masih meningkat.
“Sebabnya, yang pertama kita dengan Pakatan Harapan (PH) ikhlas dan BN pun ikhlas demi untuk kita menubuhkan kerajaan, demi kestabilan negeri,” katanya.
Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang menyeru barisan jentera parti untuk lebih agresif bertemu seramai mungkin pengundi bagi meraih sokongan untuk menjamin kemenangan BN khususnya undi pengundi muda.
PRU15 DUN Tioman ditangguhkan kepada 7 Disember susulan kematian calon PN, Md Yunus Ramli, 61, pada hari pengundian 19 November lalu dipercayai akibat serangan jantung.
DUN Tiomen menyaksikan pertandingan lima penjuru antara calon BN Datuk Seri Mohd Johari Hussain, Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH), Nor Idayu Hashim (PN), Osman A Bakar (Pejuang) dan Sulaiman Bakar (Bebas).
Bagaimanapun, Mohd Fadzli memberi laluan kepada Mohd Johari, mengambil kira kerjasama antara BN dan PH membentuk kerajaan negeri Pahang selepas PRU15. – Malaysiapost

