MB Pahang ziarah keluarga Allahyarham Md Yunus

0
3

MENTERI Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail semalam menziarah keluarga Allahyarham Md Yunus Ramli, calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman yang meninggal dunia pada 19 November lalu.

Beliau berkata, ikatan silaturahim harus dijaga walaupun berlainan ideologi politik agar hubungan ukhwah terus terpelihara.

“Saya menziarahi rumah keluarga Allahyarham Md Yunus Ramli di kediaman mereka malam ini.

“Allahyarham merupakan calon PN bagi DUN Tioman yang kembali ke rahmatullah baru-baru ini,” katanya dalam hantaran Facebook malam tadi.

Wan Rosdy berkata, beliau masih teringat bertemu dengan Allahyarham Md Yunus ketika merasmikan kilang padi di Rompin pada tahun lalu.

Katanya, mereka masing-masing berkongsi cerita yang sama kerana pernah berkhidmat di Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) sebelum ini.

“Semoga roh arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang beriman,” katanya.

Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) DUN Tioman ditangguhkan kepada 7 Disember ini, ekoran kematian Md Yunus, 61, pada jam 3.30 pagi hari pengundian, dipercayai akibat serangan jantung. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here