Lebih sejuta batang rokok putih berjaya dirampas Maritim Negeri Kelantan

0
2

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kelantan berjaya menumpaskan cubaan menyeludup kira-kira satu juta batang rokok putih dengan nilai rampasan dianggarkan RM1.1 juta dalam Op Khas di Tumpat, kelmarin.

Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman, berkata dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, bot peronda Maritim Malaysia mengesan sebuah bot pancung dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, bot berkenaan bergerak laju menuju ke perairan muara Tumpat, sebelum bot peronda bertindak mengejarnya sehingga memasuki perairan alur sungai Padang Tambun, Tumpat.

“Keadaan sungai yang cetek menyebabkan bot peronda Maritim Malaysia terpaksa bergerak perlahan yang seterusnya meminta bantuan pasukan darat untuk membuat pencarian bot pancung berkenaan di kawasan sekitar.

“Semasa pencarian, kira-kira jam 6.10 pagi, pasukan penguatkuasa Maritim Malaysia menemui dua lori di tebing sungai Tambun. Walau bagaimanapun, bot pancung telah melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, bot pancung yang diburu berkenaan disyaki telah memindahkan barangan seludup ke atas kedua-dua lori yang ditemui.

“Pemeriksaan mendapati, lori pertama membawa 70 bungkusan plastik hitam dan 30 bungkusan plastik hitam pada lori kedua. Kesemuanya mengandungi lebih kurang satu juta batang rokok putih yang disyaki tidak bercukai.

“Kedua-dua lori berkenaan dipercayai ditinggalkan apabila menyedari kegiatan mereka disedari Maritim Malaysia.

“Rokok putih yang dirampas termasuk cukai dianggarkan bernilai RM1.045 juta. Manakala nilai dua lori pula dianggarkan berjumlah RM55,000. Ini menjadikan keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM1.1 juta,” katanya.

Menurutnya, Maritim Negeri Kelantan percaya rokok yang ditemui adalah untuk dipasarkan ke beberapa negeri.

“Kesemua rokok putih dan dua lori dirampas akan disiasat di bawah Akta Kastam 1967.

“Orang ramai diminta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah di laut ke talian Malaysia Emergency Response Services (MERS) 999 atau Pusat Operasi Maritim Kelantan di talian 09-778 0070,” katanya. – Malaysiapost

Kredit foto: Agensi Maritim Malaysia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here