Kerajaan pimpinan Anwar kerajaan minoriti – PAS

0
2

PAS menyifatkan kerajaan baharu dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan Kerajaan Perpaduan, sebaliknya kerajaan minoriti.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata ini kerana tiada parti yang mempunyai kerusi cukup atau majoriti untuk membentuk kerajaan.

Menurutnya, mempunyai kepercayaan majoriti tidak semestinya majoriti mudah, ia boleh jadi majoriti dalam kalangan lain-lain.

“Pakatan Harapan (PH) mempunyai 82 kerusi, Perikatan Nasional (PN) pula mempunyai 73 kerusi. Maka, ketua PH ada majoriti, namun belum boleh membentuk kerajaan.

“Sebab itu saya katakan kerajaan sekarang bukan Kerajaan Perpaduan, sebaliknya kerajaan minoriti,” katanya ketika ditemui selepas Kenduri Kesyukuran Parlimen Kota Bharu, hari ini.

Diminta mengulas usul undi percaya di Dewan Rakyat pada 19 Disember ini, Takiyuddin berkata, pihaknya setakat ini tidak menerima maklumat berhubung usul berkenaan.

“Bagi saya, apabila seorang Perdana Menteri membawa usul berkenaan ke Parlimen, itu bermakna beliau belum mempunyai kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

“Dalam perlembagaan untuk melantik seorang Perdana Menteri oleh Yang di-Pertuan Agong, orang itu mungkin mempunyai kepercayaan ahli Dewan Rakyat.

“Sebagai alternatif, Perdana Menteri itu perlu membawa usul ke Parlimen untuk melihat sokongan,” katanya.

Usul undi percaya bagi membuktikan keabsahan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10, akan tetap dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat yang dijadualkan 19 Disember ini.

Anwar yang juga Pengerusi PH menegaskan langkah itu penting bagi membuktikan keabsahan beliau dari segi persepsi politik, selain penafsiran dalam Perlembagaan Persekutuan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here