VETERAN DAP, Lim Kit Siang menyokong cadangan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengadakan undi percaya bagi membuktikan keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada 19 Disember ini.
Ini kerana, Kit Siang mendakwa Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang sedang cuba untuk mewujudkan satu lagi konspirasi Langkah Sheraton untuk menumbangkan kerajaan pimpinan Anwar.
Menurutnya, Abdul Hadi yang mengakui menjadi dalang di sebalik konspirasi Langkah Sheraton kini sedang menyebarkan penipuan dan fitnah baharu mengenai DAP dengan menuduh parti itu sebagai mempromosikan Islamofobia.
Bagaimanapun Kit Siang berkata, tiada keperluan untuk memberikan reaksi keterlaluan terhadap penipuan dan fitnah Abdul Hadi tetapi ia tidak boleh dibiarkan tidak dicabar.
“Satu cubaan Pemuda PAS memberikan bukti yang DAP mempromosikan Islamofobia ini amatlah tidak masuk akal dan melucukan kerana ia hanya menunjukkan kegagalan mereka untuk memahami maksud Islamofobia.
“Pemimpin DAP tidak takut, benci, atau mempunyai apa-apa prejudis terhadap agama atau orang Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Kit Siang, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), DAP ada meletakkan tiga calon Ahli Parlimen Melayu iaitu Syahredzan Johan (Bangi), Young Syefura Othman (Bentong), dan Syerleena Abdul Rashid (Bukit Bendera).
“Kita juga ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melayu di Johor, Melaka, Negri Sembilan, Selangor, Pahang, Perak, dan Pulau Pinang.
“Jadi, bagaimanakah Abdul Hadi boleh menuduh DAP mempromosikan Islamofobia?,” soalnya.
Dalam pada itu, Kit Siang tidak mahu membiarkan politik toksik ini mengalihkan perhatian daripada isu besar untuk mengembalikan semula kegemilangan Malaysia. – Malaysiapost

