Usul tidak percaya tidak akan dipercepatkan tanpa sokongan Menteri

0
3

Fitri Nizam

USUL undi tidak percaya bukan sesuatu yang unik mengikut sistem diamalkan negara dan ia tidak akan dipercepatkan perbahasannya tanpa penerimaan seorang Menteri.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, berkata apa-apa usul yang dibuat dan diberi pemberitahuan kepadanya atau Setiausaha Dewan Rakyat mengikut Peraturan Mesyuarat akan dikendalikan mengikut undang-undang sedia ada.

“Perlu saya tegaskan bahawa kedudukan usul undi tidak percaya di dalam Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat bukanlah unik kepada sistem kita amalkan.

“Malah sistem yang diamalkan di Australia juga hampir serupa dengan amalan kita di mana sesuatu usul undi tidak percaya itu tidak akan dipercepatkan perbahasannya tanpa penerimaan oleh seorang Menteri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab dakwaan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang mendakwa usul undi tidak percaya dibawanya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dihalang daripada dibahaskan.

Justeru, Azhar berkata, beliau berterima kasih kepada kepada Tengku Razaleigh atau lebih dikenali sebagai Ku Li kerana memberi peluang kepadanya menjelaskan kedudukan usul undi tidak percaya terbabit. -Malaysiapost