Penduduk di kawasan dijangka banjir diminta berwaspada

0
2

PENDUDUk terutama di kawasan yang dijangka banjir diminta berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa susulan Amaran Hujan Berterusan (Waspada) yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), hari ini membabitkan kawasan Timur Sabah, Pantai Timur dan Utara Semenanjung.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam satu kenyataan hari ini, membuat peringatan itu dan turut memaklumkan situasi semasa bencana di Malaysia ketika ini.

Menurut kenyataan itu, sehingga jam 4 petang tadi bilangan negeri yang terkesan akibat banjir kekal pada dua negeri membabitkan tiga daerah di Perak dan Selangor.

“Seramai 402 orang mangsa daripada 116 Ketua Isi Rumah (KIR) direkodkan berada di empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“Jumlah ini menunjukkan sedikit peningkatan berbanding semalam dimana hujan lebat berterusan petang semalam telah mengakibatkan banjir di beberapa kawasan di daerah Sepang, Hulu Selangor dan Ampang Jaya.

“Dua PPS telah dibuka di daerah Sepang bagi menempatkan 90 mangsa daripada 24 KIR,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut memaklumkan bacaan air di Sungai Junjung, Simpang Empat, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang berada pada tahap bahaya sehingga jam 4.30 petang tadi.

“JPS turut mengeluarkan Amaran Banjir bagi Terengganu dan Kelantan pada jam 3 petang tadi membabitkan lembangan Sungai Setiu, Sungai Dungun, Sungai Kemaman, Sungai Paka, Sungai Besut dan Sungai Golok.

“Banjir yang diramalkan ini boleh berlaku lebih awal atau lewat dari masa yang dijangkakan,” menurut kenyataan itu lagi.

NADMA turut mengesa orang ramai mendapatkan maklumat dan amaran semasa melalui laman web http://publicinfobanjir.water.gov.my atau Facebook PublicInfoBanjir dan Twitter JPS InfoBanjir.

“Masyarakat diingatkan sentiasa peka serta patuh kepada arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa dan segera berpindah sekiranya diarahkan,” katanya.

Terdahulu METMalaysia mengeluarkan Ramalan Cuaca Signifikan bagi tempoh 1 hingga 7 Disember ini yang menjangkakan angin timuran kencang tertumpu di Timur Sabah, Pantai Timur dan Utara Semenanjung yang berpotensi menyebabkan hujan berterusan. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here