DUN Tioman: Amanah setuju beri laluan kepada BN

0
2

PARTI Amanah bersetuju memberi laluan kepada calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman sebagai tanda kesepakatan Kerajaan Perpaduan peringkat negeri dan pusat.

Setiausaha Agung Amanah, Datuk Mohd Hatta Md Ramli berkata atas semangat itu, Amanah melihat keperluan untuk mewujudkan perpaduan erat komponen kerajaan negeri dalam menentang calon Perikatan Nasional (PN).

“Oleh yang demikian, Amanah yang juga sebahagian daripada parti komponen Pakatan Harapan (PH) mengambil keputusan untuk memberi laluan kepada calon BN sebagai tanda kesepakatan Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri dan nasional.

“Bagi memenangkan calon yang mewakili Kerajaan Perpaduan ini, jentera pilihan raya PH akan bergerak secara bersama dalam setiap kempen BN,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Calon PH DUN Tioman pada PRU15 ialah Mohd Fadzli Mohd Ramly, manakala calon BN ialah Datuk Seri Mohd Johari Hussain.

PRU15 DUN Tioman ditangguhkan kepada 7 Disember ini, ekoran kematian calon PN Md Yunus Ramli, 61, pada 3.30 pagi hari pengundian 19 Nov lalu, dipercayai akibat serangan jantung.

Selain Mohd Fadzli dan Mohd Johari, turut bersaing pada pilihan raya itu ialah calon PN Nor Idayu Hashim, Osman A Bakar (Pejuang) dan Sulaiman Bakar (Bebas). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here