Anwar tak mahu lagi lulus perolehan tanpa tender

0
4

DATUK Seri Anwar Ibrahim tidak mahu berlaku lagi kelulusan perolehan tanpa tender di bawah tata kelola pentadbiran kerajaan baharu pimpinannya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan perpaduan pimpinannya tidak akan membenarkan sebarang kebocoran, ketirisan dan rasuah terus berleluasa.

“Soal perolehan, soal kelulusan tanpa tender ini tidak boleh lagi terus dengan mengizinkan kebocoran, ketirisan dan rasuah. Ini tidak boleh lagi dan harus berlaku di semua peringkat.

“Maka untuk peringkat awal ini, saya ingin menggesa dan mengajak saudara (penjawat awam) untuk sama-sama dalam pasukan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perhimpunan bulanan pertamanya bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Perdana Putra di Putrajaya hari ini, lapor Berita Harian.

Sementara itu Perdana Menteri meminta seluruh kakitangan kerajaan agar bersama-sama membawa negara ke arah pemulihan.

Menurut Anwar, matlamat itu mungkin sukar dicapai sekiranya tidak menerima kerjasama daripada semua pihak.

Tegasnya, negara suatu ketika dahulu pernah berada di kedudukan membanggakan namun ia berubah atas beberapa faktor.

“Negara ini perlukan perubahan, suatu tahap yang pernah kita capai dulu malangnya merosot, baik dari segi ekonomi, kestabilan atau pun disiplinnya.

“Tentunya semua tahu tentang pelanggaran hukum termasuk isu-isu penyelewengan rasuah yang kadang-kadang ada kaitannya dengan pimpinan penjawat awam.

“Dalam sejarah negara, kerajaan silih berganti namun penjawat awam sebagai tunggak mentadbir, kekal mengangkat sistem dan pentadbiran,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here