Siapakah PM yang buat pembelian Mercedes S600?

0
2

CETUS tanda tanya siapakah Perdana Menteri sebelum Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah membuat pembelian kenderaan mewah, Mercedes S600. 

Anwar hari ini mengesahkan pihaknya telah membatalkan pembelian kenderaan mewah jenis Mercedes S600 yang dibeli dan diperoleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk kegunaan rasmi.

Katanya, pembatalan itu dibuat selepas semakan terperinci sama ada tempahan itu boleh dibatalkan atau sebaliknya dilakukan.

Anwar turut memaklumkan, tempahan Mercedes S600 sebelum ini ditempah ketika zaman perdana menteri sebelum ini.

“Sebenarnya ini (Mercedes S600) dipesan oleh perdana menteri yang lalu, tapi saya check (periksa) tengok boleh tak batal, sempat batal,” katanya.

Bagaimanapun, Anwar tidak memberitahu siapakah Perdana Menteri sebelumnya yang bertanggungjawab membuat pembelian kereta mewah tersebut. 

Sementara itu, bekas Pengarah Bahagian Komunikasi Pejabat Perdana Menteri era pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ruhaidini Abd Kadir memaklumkan tindakan Anwar menolak menggunakan kenderaan rasmi baharu bukanlah perkara luar biasa kerana perkara yang sama pernah dilakukan Ismail Sabri. 

Menerusi hantaran di Facebook miliknya, Ruhaidini memaklumkan Ismail Sabri menggunakan kenderaan jenis MPV sepanjang beliau menjadi Perdana Menteri. 

“Perdana Menteri Ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga pernah menolak untuk menggunakan kenderaan kalis peluru yang disediakan kerajaan untuk beliau.

“Sepanjang bergelar Perdana Menteri, Ismail Sabri lebih selesa menggunakan kenderaan jenis MPV yang telah digunakan oleh pentadbiran terdahulu,” katanya. 

Bagaimanapun, memetik Berita Harian, model kereta berkenaan yang bernilai hampir RM2.3 juta itu telah dicadangkan sewaktu pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan diluluskan ketika kerajaan pimpinan Ismail Sabri.

Anwar sebelum ini berkata tiada pembelian kereta rasmi baharu untuk kegunaannya dan sebarang ubah suai pejabatnya bagi mengelak pembaziran di bawah pentadbirannya.

Anwar yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Khamis lalu, dilaporkan menolak untuk menggunakan Mercedes S600 yang telah dibeli dan diperoleh Jabatan Perdana Menteri untuk kegunaan rasmi Perdana Menteri sebelum beliau memasuki pejabat. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here