Lantikan Kabinet bukan ganjaran sokong kerajaan – PM

0
2

DATUK Seri Anwar Ibrahim menegaskan sebarang pelantikan anggota Kabinet dalam kerajaan pimpinannya bukan sebagai ganjaran sokongan membentuk kerajaan.

Perdana Menteri berkata, ini selaras dengan hasratnya untuk mengurangkan saiz Kabinet, tidak seperti di bawah pentadbiran terdahulu.

Anwar turut mengulangi pendiriannya untuk mengecilkan anggota Kabinet dan tidak mahu melantik lebih 70 Menteri semata-mata sebagai imbuhan menyokong kerajaannya.

“Saya tidak mahu meneruskan pemberian tambahan ini untuk menggajikan atau melantik menteri atau penasihat sebagai ganjaran menyokong saya.

“Saya mahu mereka menyokong saya berdasarkan polisi yang dibawa serta komitmen untuk tadbir urus yang baik, anti rasuah serta ekonomi,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara 2022, hari ini.

Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman barisan Kabinetnya.

Beliau turut meminta tempoh beberapa hari lagi sebelum barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan diumumkan kerana masih lagi mengadakan perbincangan dengan kepemimpinan tiga parti utama yang lain.

“Perbincangan masih berlangsung dan saya perlu berbincang dengan tiga parti utama yang lain, saya rasa mungkin beberapa hari lagi saya boleh kemukakan cadangan yang diberikan.

“Saya juga sudah bertemu dengan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg serta wakil Barisan Nasional (BN) dan mereka mempunyai jawatankuasa kerja yang mempunyai beberapa cadangan.

“Malah hari ini juga saya akan bertemu dengan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor serta Warisan. Maka perbincangan kini masih diadakan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here