Undi Melayu pecah untungkan PAS – Kadir Jasin

0
2
KUALA LUMPUR, 14 Mei -- Ketua Media dan Komunikasi bagi Majlis Penasihat Kerajaan Datuk A Kadir Jasin pada sidang media selepas mesyuarat tertutup Majlis Penasihat Kerajaan di Kuala Lumpur hari ini. --fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

PENDIRIAN PAS yang dikatakan sanggup mengenepikan prinsip, pragmatik dan oportunistik menjadikan parti Islam itu muncul sebagai parti paling banyak memenangi kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), minggu lalu.

Wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin, berkata PAS membuat pilihan tepat pada PRU kali ini dengan memilih Bersatu menerusi Perikatan Nasional (PN) yang dilihat kurang bermasalah selain mempunyai sumber kewangan.

Bagaimanapun, katanya walaupun PAS berjaya memperoleh 49 kerusi, namun gagal membentuk kerajaan selepas Pakatan Harapan (PH) menang dengan kerusi lebih banyak.

“Ada orang kata, PAS pandai strategi pilihan raya. Saya kata, PAS adalah ‘unscrupulous’ (ketepi prinsip) dan pada masa yang sama, pragmatik dan oportunistik.

“Boleh kata tidak ada parti yang PAS tidak memadu cinta berahi dalam sejarah kewujudannya – dengan Barisan Nasional (BN) zaman Almarhum Tun Abdul Razak, Semangat 46, PKR dan DAP.

“Namun, tidak semua yang PAS rancang dan diidamkan berlaku. Walaupun menang besar, tetapi rakan-rakan kongsinya gagal. Lantas matlamat mencapai kemenangan mutlak atau setidak-tidaknya kerusi terbanyak gagal dicapai,” katanya dalam Facebook hari ini.

Menurut Kadir, mungkin ada orang tidak sedar atau terlepas pandang bahawa pencetus persaingan hebat, khususnya bagi mendapatkan undi Melayu, adalah PAS.

“PAS bertanding 70 kerusi Parlimen dan menang 49, menjadi parti terbesar dalam Dewan Rakyat. Satu sejarah.

“Bersatu bertanding 80 kerusi, menang 24 saja, lebih kurang senasib dengan Umno yang bertanding 120, menang 26. PAS menjadi lebih besar dan berpengaruh daripada Bersatu,” katanya.

Jelasnya, tindakan PN menolak saranan Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk Kerajaan Perpaduan bersama PH menjadikan parti itu sebagai pembangkang.

“Namun, ada kebaikannya. PAS dan Bersatu sebagai pembangkang boleh jalankan peranan semak imbang. Kita pun tidak mahu Kerajaan Perpaduan ini menjadi kerajaan yang sombong dan meragukan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here