Calon PH Tioman nafi beri laluan kepada BN

0
2

CALON Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi dewan undangan negeri (DUN) Tioman, Mohd Fadzli Mohd Ramly menafikan dia akan memberi laluan kepada calon Barisan Nasional (BN), Mohd Johari Hussain dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15). 

Dia terkejut dengan berita disiarkan beberapa media hari ini dan menegaskan dia masih calon PH dan akan bertanding di kerusi itu.

“Setakat ini saya masih bertanding dan nama saya di dalam kertas undi nombor 3.

“Tiada apa-apa dan saya tidak menerima apa-apa arahan daripada Majlis Presiden dan kedudukan saya adalah bersedia untuk menghadapi pilihan raya N42 DUN Tioman,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini di Kuantan, Pahang, hari ini. 

Terdahulu hari ini, Mohd Fadzli ketika ditemubual media malam tadi dilaporkan bersedia memberi laluan kepada calon BN, Mohd Johari jika diarahkan pucuk pimpinan tertinggi parti.

PRU15 bagi kerusi DUN Tioman ditangguhkan kepada 7 Dis ini, ekoran kematian calon Perikatan Nasional (PN), Md Yunus Ramli, 61, pada 3.30 pagi hari pengundian 19 Nov lepas, dipercayai akibat serangan jantung.

Selain Mohd Fadzli dan Mohd Johari, turut bersaing pada pilihan raya itu ialah calon PN, Nor Idayu Hashim, Osman A Bakar (Pejuang) dan Sulaiman Bakar (Bebas).

Mohd Fadzli berharap penjelasan dibuatnya itu dapat memberikan maklumat lebih tepat kepada pengundi di kawasan berkenaan. 

“Saya (ingin) perjelaskan bahawa sehingga kini saya masih calon PH yang akan bertanding di DUN Tioman. 

“Nama saya masih dicatatkan dalam kertas undi dan saya berharap kenyataan (laporan berita) tersebut perlu dibaca penuh dan tidak hanya merujuk kepada tajuk (berita) sahaja,” katanya lagi. 

Dia menegaskan sebarang keputusan muktamad mengenai kedudukannya sebagai calon di Tioman perlu merujuk kepada arahan Majlis Presiden PH. 

“Setakat ini (Majlis Presiden PH) tidak memberikan sebarang arahan berkaitan pilihan raya di DUN Tioman,” katanya. 

PRU15 bagi DUN Tioman akan menggunakan daftar pemilih pilihan raya dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengandungi 28,465 pemilih dengan 28,200 adalah pengundi biasa, 262 anggota polis dan tiga pengundi tidak hadir luar negara. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here