Pembentukan Kerajaan Pahang masih jadi tanda tanya

0
2

PETEMUAN Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dengan beberapa pemimpin tertinggi parti itu, termasuk dalam kalangan bekas Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang diadakan malam tadi, masih menjadi tanda tanya.

Kebanyakan pemimpin BN yang hadir dalam pertemuan itu ‘mengunci mulut’ enggan mendedahkan inti pati perbincangan.

Malah, ada yang mendakwa pertemuan itu adalah perjumpaan biasa tiada hal mustahak dibincangkan.

Difahamkan, pertemuan itu ada kaitan dengan senario politik semasa berkisar pembentukan kerajaan Pahang. Ia termasuk ketetapan kerjasama sama ada antara BN dengan Pakatan Harapan (PH) ataupun Perikatan Nasional (PN).

Wan Rosdy ketika ditemu media selepas perjumpaan malam tadi berkata, beliau cuma mahu berbual dengan rakannya yang lain.

Beliau juga hanya tersenyum dan tidak memberi sebarang ulasan ketika ditanya tujuan pertemuan yang bermula sekitar jam 5.30 petang.

Malah, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang, Datuk Seri Hassan Ariffin dan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin juga enggan mengulas mengenainya.

Bekas Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said dan ADUN Dong Fadzli Mohamad Kamal juga mengunci mulut.

Namun, apa yang pasti pertemuan berkenaan tidak dihadiri wakil PH mahupun PN.

Difahamkan, sebelum pertemuan itu berlangsung, Wan Rosdy menghadap Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah pagi tadi di Istana Negara.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga ADUN Cheka, dipercayai menghadap Tengku Hassanal.

Sehingga kini tiada kenyataan media berhubung perkembangan terkini isu pembentukan kerajaan Pahang membabitkan BN dan mahupun PN.

Buat pertama kali dalam sejarah negeri itu, tidak ada parti yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) memperoleh majoriti mudah sehingga kerajaan negeri itu tergantung.

Percaturan BN untuk mendapat jumlah kerusi DUN lebih besar dengan sekurang-kurangnya 30 kerusi dalam PRU15 tidak kesampaian.

BN yang mentadbir kerajaan negeri sebelum ini hanya menang 16 daripada 41 kerusi yang dipertandingkan, manakala PN mendahului 17 kerusi dan PH hanya lapan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here