PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin meluahkan rasa sebak dan menzahirkan rasa terima kasih atas sokongan yang diberikan terhadapnya.
Menerusi hantaran di Facebook malam ini, Pesiden Bersatu itu bagaimanapun tekad meneruskan perjuangan demi kedaulatan agama, bangsa dan negara.
“Sebak rasa hati ini mengenangkan sokongan rakyat di atas jalan perjuangan ini.
“Saya juga insan biasa, yang punya rasa sedih dan kecewa. Insan kerdil yang juga punya air mata.
“Di saat memeluk isteri saya ini saya bukan sahaja merasa tenangnya hati, lapangnya dada, redha takdir Illahi,” katanya.
Dalam hantaran itu, bekas Perdana Menteri ke-8 itu turut memuat naik gambar memeluk isterinya tercinta, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.
Menurut Ahli Parlimen Pagoh itu walaupun perjalanan sukar dan panjang, beliau tidak akan berhenti berjalan dek kerana ujian yang melanda.
“Ingatlah bahawa obor perjuangan tetap terus menyala. Kuatkan semangat dan tabahkan hati.
“Jika kita sabar, dan berpegang teguh kepada amanah bangsa dan ikhlas dalam berjuang, Insya-Allah akan sentiasa ada sinar di hujung jalan.
“Pujuklah hati, bahawa esok hari masih ada. Kita bina Malaysia yang lebih baik dengan setiap kudrat yang ada, dalam apa jua kapasiti kita sekalipun. Ingatlah, Malaysia itu milik kita semua bersama,” katanya.
Dalam masa sama, Muhyiddin mengakui keputusan Pilihan Raya Umum-ke15 (PRU15) itu turut memberi kesan kepada beliau.
Menurutnya, masih terngiang-ngiang suara dan laungan penyokong ketika berkempen, selain sangat menghargai komen murni yang diterimanya di media sosial.
“Saya tahu. Saya bukan sendiri. Bersama dengan saya adanya saudara saudari yang kekal berdiri. Memapah saya agar terus berjalan dan berlari di landasan perjuangan ini.
“Saya insafi, perjuangan ini bukan milik saya. Perjuangan ini milik kita bersama, rakyat Malaysia,” katanya. – Malaysiapost


Teruskan perjuangan. Kita perlu pembankang yang hebat. Terimakasih