Aminuddin sokong Tok Mat sebagai TPM

0
3
tokmat

MENTERI Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengakui gembira dan akan menyokong sekiranya Datuk Seri Mohamad Hasan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam Kerajaan Perpaduan.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan berkata, Mohamad adalah antara tokoh yang boleh diketengahkan oleh Umno bagi jawatan itu.

“Kita sedia maklum perkara pelantikan berkenaan adalah ketua parti yang menentukan siapa Timbalan Perdana Menteri jika tempat itu diberikan kepada Umno.

“Secara peribadi, beliau (Mohamad) orang Negeri Sembilan jadi saya lagi suka beliau jadi Timbalan Perdana Menteri.

“Beliau tokoh dalam Umno dan berpengalaman, di peringkat negeri saya memang menyokong,” katanya kepada pemberita di luar perkarangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, hari ini.

Media melaporkan BN akan menyerahkan kepada Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menentukan calon Timbalan Perdana Menteri yang akan mewakili gabungan itu dalam kabinet Kerajaan Perpaduan.

Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan dilaporkan berkata meskipun isu berhubung jawatan Timbalan Perdana Menteri itu ada dibincangkan pada mesyuarat Dewan Tertinggi BN sebelum ini, tiada nama tertentu disebut bagi mengisi jawatan terbabit pada mesyuarat berkenaan.

Pada sidang media selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri di Istana Negara, petang semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor berkata akan mewujudkan dua jawatan Timbalan Perdana Menteri dalam kalangan wakil komponen.

Ia akan diisi oleh wakil daripada BN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here